Kelemahan Merancang Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Kalangan Guru Pelatih Pendidikan Islam Semasa Menjalani Praktikum

06/10/2016 21:37

Md Zuki Bin Hashim

IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, Malaysia

tadsuki@msn.com

 

Kajian ini bertujuan untuk mengesan kelemahan merancang pengajaran dan puncanya dalam kalangan guru pelatih praktikum. Reka bentuk  kajian ini berasaskan pendekatan kualitatif  yang menggunakan kaedah  kajian kes ke atas sembilan orang guru pelatih Pendidikan Islam. Data kajian diperoleh daripada analisis ke atas dokumen Buku Rancangan Pengajaran Harian yang disediakan oleh guru pelatih, pemerhatian ke atas amalan pengajaran di bilik darjah dan temu bual dengan guru pelatih.  Data dianalisis menggunakan perisian NVIVO8. Kajian ini mendapati antara kelemahan merancang pengajaran  yang dikesan ialah kurang prihatin merancang kemahiran berfikir yang wajar diterapkan, kurang teliti merancang nilai murni yang wajar diterapkan, kurang cermat merancang aras hasil pembelajaran, kurang rapi merancang set induksi dan kurang mahir merancang kepelbagaian teknik pengajaran dan  pembelajaran. Semua tema dipilih berasaskan potensi untuk menjejaskan pelaksanaan dasar pendidikan kebangsaan terutama aplikasi Pendidikan Abad Ke 21. Kajian ini juga mendapati antara punca kelemahan merancang pengajaran ialah kekurangan pengetahuan, pengurusan masa yang kurang cekap, bimbingan semasa interaksi bersemuka yang kurang berkesan, kurang keselarasan format penulisan rancangan pengajaran dan proses penyeliaan yang tidak berfokus. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjutan berasaskan setiap kelemahan dan puncanya yang telah dizahirkan dalam kajian ini. Kajian ini diharapkan dapat membantu meningkatkan keberkesanan latihan praktikum melalui kesedaran kendiri, bimbingan berfokus dan penyeliaan berfokus.

 

Kata Kunci: praktikum, teknik pengajaran, kemahiran berfikir, Rancangan Pengajaran Harian, set induksi, nilai murni

Kertas ini telah dibentang dalam International Conference On Islamic Education pada 5-7 Oktober 2016 di IPG Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, Sarawak.